Dasar Kerajaan Malaysia menubuhkan Petronas Dagangan Sdn Bhd pada 5 haribulan Ogos 1982 adalah untuk membantu anak Melayu menceburi perdagangan bahan petroliam hiliran domestik (runcit) dengan lambang Petronas.
Perdagangan ini telah lama di kuasai oleh syarikat minyak antarabangsa seperti BP, Caltex, Esso, Mobil dan Shell, dan umum mengetahui bahwa stesyen-stesyen minyak mereka amat sukar di perolehi oleh anak Melayu yang sudah barang tentu tidak mempunyai pengalaman mengendalikan sebuah stesyen minyak dan juga tidak bermodal.
Petronas Dagangan Sdn Bhd membuka peluang untuk anak Melayu menjadi saudagar minyak di tanah air mereka sendiri.
Saya telah mohon menjadi Wakil Penjual kepada Petronas sebanyak dua kali. Permohonan saya yang pertama adalah dengan menawarkan sekeping tanah milik saya di Mukim Bakri, Muar untuk di jadikan sebuah stesyen. Permohonan ini tidak mendapat jawapan dari pihak Petronas.
Permohonan saya yang kedua adalah untuk menjadi Wakil Penjual di Melaka dimana saya bermastautin. Permohonan ini mendapat jawapan untuk di temuduga oleh Petronas melalui sebuah taligram yang saya terima pada hari ulang tahun pernikahan saya yang ke sepuluh.
Temuduga itu di adakan di Pejabat Jualan Petronas Melaka yang ketika itu bertempat di Jalan Melaka Raya dan ramai teman dan handai taulan yang saya temui di sana. Mereka semua telah di panggil untuk temuduga dan apabila melihat saya, mereka menggelengkan kepala dan berkata, ‘Karim pun ada! Habislah kita! Dialah yang dapat!’ Saya tersenyum dan menjawab, ' Semoga manis mulut tuan-tuan!' sambil mengangkat kedua tangan mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T., atas doa mereka!
Proses temuduga itu untuk menyenarai pendek pemohon. Temuduga yang kedua juga di maklumkan melalui taligram tapi kali ini bertempat di rumah pemohon. Habis seluruh rumah, termasuk tandas dan belakang rumah ditinjau oleh tim seramai tiga orang.
Akhirnya dari sekian jumlah pemohon, tinggal lima (5) orang untuk mendapatkan dua (2) buah stesyen; satu di Cheng dan satu lagi di Bukit Beruang. Proses ini di jalankan dengan cabutan undi; undian pertama untuk menentukan giliran mengundi dan undian yang kedua untuk menentukan stesyen yang pertama yaitu Cheng. Proses undian yang serupa di lakukan untuk stesyen Bukit Beruang, tapi dengan empat (4) orang yang baki, setelah pemenang Cheng di keluarkan.
Sesuai dengan doa para teman dan handai taulan pada hari temuduga yang pertama, rezeki saya Allah S.W.T., tentukan berada di Cheng. Undian untuk stesyen Bukit Beruang diperolehi oleh Allahyarham Abdul Majid Hassan yang meninggal dunia pada tahun 1987.
Salah satu syarat yang di kenakan kepada pemohon yang berjaya di lantik menjadi Wakil Penjual Petronas adalah, dia mesti bekerja sepenuh masa di stesyen itu. Sesiapa yang sedang bekerja ketika akan dilantik, mesti meletakkan jawatan. Dia tidak boleh melibatkan diri dalam perniagaan lain dan setiap Wakil Penjual hanya berhak ke atas sebuah stesyen sahaja.
Panca Usaha pun berhenti menjadi kontrator untuk projek tanam semula getah RISDA di Mini Estet Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka.