Postings yang lalu, kecuali yang menceritakan sikap PDSB pada awal pembukaan stesyen dan peristiwa menjual bahan petroliam bercampur air, adalah khabar indah yang timbul akibat dari cabaran menghadapi pelanggan dan saingan dari pasaran yang merupakan asam garam dunia perniagaan hiliran petroliam domestik.
Walau apa sekalipun kerenah dan aksi dari para pelanggan termasuk sikap sesetengah pelanggan yang menganggap para pekerja stesyen minyak, termasuk pengurus yang bersama para pekerja menghadapi pelanggan setiap hari, sebagai ‘budak suruhan’ dan diri pelanggan itu sebagai ‘raja’, kami di Stesyen Minyak Petronas Mukim Cheng, Melaka tidak menghiraukannya. Falsafah kami adalah, ‘puaskan hati pelanggan dengan layanan semaksima mungkin supaya mereka meneruskan perjalanan dengan selamat; yang penting, mereka tinggalkan wang mereka bersama kami’!
Yang menjadi masalah terbesar kami di Stesyen Minyak Petronas Mukim Cheng, Melaka adalah sikap dan tabiat para pegawai PDSB sendiri! Sepanjang ingatan saya, sejak dari tarikh pembukaan stesyen hingga kepada hari para pegawai PDSB datang untuk menerima penyerahan semula Stesyen Minyak Petronas Mukim Cheng, Melaka pada 090987; tidak seorang pun para pegawai yang berbangsa Melayu dan beragama Islam datang dengan pertanyaan, “Ada apa-apa masalah, Karim?” atau bagi yang suka berbicara dalam Bahasa Inggeris, “Any problem, Karim?” Hanya seorang sahaja yang menanyakan demikian.
Beliau bernama Francis seorang berbangsa India yang besar kemungkinan beragama Hindu!
Sungguh ajaib, kan? Dan tentunya sangat memalukan apabila ia terjadi di Malaysia Kite! Tapi... Malaysia (kan) Boleh!
No comments:
Post a Comment