Sebagaimana yang telah saya terangkan di atas, Stesyen Minyak Petronas Mukim Cheng, Melaka ini terletak di pertengahan jalan antara Bandar Melaka dan Alor Gajah. Di Bandar Melaka, terdapat sebuah stesyen Petronas di Semabok yang ‘tuan punya’-nya adalah (kini) YB Datuk Hj Mohd Said Yusof, Wakil Rakyat Jasin yang menjadi terkenal kerana menggunakan istilah ‘tutup sebelah mata’ dalam kes kayu bergergaji ( bukan kayu balak?) yang di ‘import’ dari Indonesia.
Setelah Stesyen Minyak Petronas Mukim Cheng, Melaka stesyen Petronas yang terdekat adalah yang di Pekan Kota, Negri Sembilan. Ini adalah apabila kita berjalan dari Melaka ke Utara Semenanjung melalui jalan lama kerana ketika itu Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hanya setakat di Senawang, NS.
Dengan jarak antara kedua-dua stesyen ini begitu jauh, para pelanggan Petronas samada pemandu bas ekspres, teksi maupun kereta persendirian menjadikan Stesyen Minyak Petronas Mukim Cheng, Melaka tempat persinggahan mereka. Sudah tentu ramai yang akan menggunakan ‘kamar kecil’ atau tandas yang tersedia di stesyen.
Nah! Disini letaknya ‘seni’ para pegawai Petronas.
Mereka membina tandas uni-sex di stesyen tersebut. Tandas ini mempunyai sebuah pintu masuk tapi dua kamar kecil di dalamnya yang dipisahkan oleh sebuah pintu lagi. Apabila kita masuk ke tandas itu, kita akan dapati sebuah sinki untuk membasuh tangan di sebelah kiri pintu masuk dan sebuah 'tempat buang air kecil' jenis berdiri di penjuru kanan dan sebuah pintu di dinding yang bertentangan dengan pintu masuk. Di sebalik pintu ini terdapat sebuah tandas ‘cangkung’. Apabila seseorang ingin ‘membuang air’ besar, maka ia akan masuk melalui pintu pertama dan terus ke kamar kecil melalui pintu yang kedua. Kalau seorang wanita yang ingin ‘buang air kecil’ ia tentu akan menggunakan kamar kecil yang sebelah dalam.
Untuk menjadi cerita, seringkali seorang wanita sedang ‘buang air kecil’ di kamar kecil sebelah dalam dan menutup pintu penghubung itu. Kemudian masuk pula seorang lelaki yang juga ingin ‘buang air kecil’ di 'tempat buang air kecil' jenis berdiri tanpa menyedari keberadaan seorang wanita di sebalik pintu penghubung. Sedang ia berdiri untuk melegakan dirinya, pintu penghubung itu terbuka dan muncul seorang wanita di sisinya! Bayangkan apa yang terjadi apabila anda adalah lelaki itu ataupun wanita yang keluar dari pintu penghubung itu!
Kejadian ini sering berlaku dan para pekerja dan juga pengurus sering di maki hamun oleh para pelanggan kerana ‘kesenian’ para pegawai merika bentuk ‘kamar kecil’ stesyen!
Kadangkala kerana terlalu ramai yang ingin menggunakan ‘kamar kecil’ dan tak sanggup menunggu, maka longkang di belakang stesyen menjadi tempat ‘melepas’ ‘air kecil’ maupun ‘air besar’ bagi para pelanggan lelaki maupun perempuan!
Tak tahan sering dimarahi oleh para pelanggan, akhirnya pengurus ‘membuka’ sebuah pintu lain di dinding luar untuk masuk ke ‘kamar kecil’ yang sebelah dalam dan membina tandas ‘ad hoc’ untuk lelaki di belakang stesyen atas biaya sendiri.
Malangnya initiatif ini mengundang kemarahan dari Sales Coordinator kerana menurut beliau, ‘Kamu merosakkan harta syarikat!’ Walaupun beliau sendiri pernah menyaksikan kejadian para pelanggan wanita mengangkat skirt dan ‘bercanggung’ di longkang kerana tak sanggup menunggu giliran menggunakan tandas yang tersedia!
No comments:
Post a Comment